Assalamualaikum,
Bismillah…
Aku mulakan tulisan kali ini dengan nama ALLAH. Sebagai memperingati diri kita semua bahawa Allah lah yang menjadi ilah kita. Allah lah tujuan utama kita hidup di dunia ini.
Tujuan utama?
Ya, segala yang lainnya boleh sahaja terpadam begitu sahaja andai redha ALLAh yang menjadi gadaian. Ataupun ada yang lebih baik untuk mengejar redha-Nya.
Redha setinggi-tinggi redha.
Maka itulah yang dibuat oleh Abu Bakar ketika mengejar redha. Boleh sahaja hartanya itu diinfaqkan 15%, 50%, 75% untuk mengejar redha ALLAH… tetapi yang dipilihnya ialah mengejar redha tahap tertinggi - 100%.
Allah cinta utama kita.
Allah adalah objektif seruan kita.
Bagaimana dengan yang lain? Cinta kita pada ibu bapa kita? Sanak saudara kita? Isteri dan anak-anak kita? Harta kita? Diri sendiri?
Maka ALLAH mengajarkan kita :
Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik. - At Taubah, ayat 24
Sirah telah menggambarkan kita akan pengorbanan yang sangat dahsyat yang dilakukan oleh para sahabat ketika menghadapi konflik cinta.
Konflik memilih priority dalam bercinta.
Lihat sahaja Mus’ab bin Umair, seorang bangsawan yang sangat kaya. Ibunya tidak meredhai cintanya pada ALLAH. Lantaran itu, kekayaannya ditarik.
Mus’ab redha. Memilih cintanya pada ALLAH melebihi segala-galanya.
Saad bin Abi Waqqas….
Seorang yang sangat mencintai ibunya sebelum memeluk islam. Namun Saad diuji. Antara cinta pada ibunya atau cintanya pada Allah dan rasul-Nya.
Ibunya bermasam muka dan nekad untuk tidak makan sehinggalah Saad kembali ke agama sebelumnya. Hari ke hari, Saad memujuk ibunya untuk makan, tetapi ibunya masih berdegil.
“Aku tidak akan makan sehinggalah kau kembali kepada agama asal kita”, kata ibunya.
Hari ke hari, ibunya masih nekad. Tapi kenekadan Saad akan cintanya pada ALLAH mengatasi segala-galanya.
“Sekiranya mak mempunyai 1000 nyawa, dan nyawa itu ditarik satu persatu di hadapanku, aku tetap akan memilih islam sebagai agamaku”, kata Saad.
Begitulah dua sahabat menunjukkan qudwah terbaik pada kita berkenaan meletakkan priority cinta kita. Cinta kepada ALLAH.
Fikrah ini yang membentuk cara hidup kita, tindakan kita dan cara kita berfikir. Segala keputusan yang kita lakukan hendaklah berdasarkan kefahaman meletakkan cinta kepada ALLAH melebihi dari cinta kepada yang lain.
Adakalanya aku terfikir…
Berapa ramai antara kita yang berubah serta-merta lantaran cintanya pada pasangan yang ingin dikahwininya?
Menjaga kesihatan seakan-akan telah ditimpa sakit yang kronik.
Tabiat yang buruk cuba dibuang biarpun sudah sebati dalam diri.
Segala-galanya cuba diberikan yang terbaik. Biarpun tidak diminta.
TERBAIK! Seperti ingin mengejar tahap setinggi-tinggi redha yang ku ungkapkan di awal-awal tadi.
Sekarang, berapa ramai di antara kita yang berubah selepas mengenal dan mencintai ALLAH? Benar, kalau ditanya, boleh saja kita mengungkapkan akan berapa dalamnya cinta kita kepada ALLAH.
Tapi di mana buktinya pada perbuatan kita?
Keputusan penting dalam hidup kita sering membelakangi dan tidak selari dengan tuntutan seruan kita ini. Tidak seperti ingin mengejar setinggi-tinggi redha. Bahkan lebih dahsyat, seakan-akan telah melakukan syirik kecil kerana ada benda yang lebih didahulukan berbanding ALLAH.
Kebatasan atau kemampuan diri kita seringkali menghalang perjalanan seruan ini. Penat, banyak kerja, sibuk, tidak ada duit, tak dapat datang atas ’sebab-sebab tertentu’, etc…
Marilah kita fikirkan antara dua kes ini…
Jika si isteri yang memanggil pada pukul 3 pagi di saat kita sedang bekerja di pejabat kerana mengadu sakit, adakah kita akan segera pulang mendapatkannya dengan keadaan risau dan simpati?
Bagaimana si murabbi pula yang memanggil pada pukul 3 pagi di saat kita sedang sibuk bekerja di pejabat, meminta merawat pohon dakwah yang sedang sakit? Adakah kita akan terus menerima panggilan itu? Redhakah kita?
Bukan sahaja redha pada lisan dan perbuatan, malah redha pada hati. Seperti mana redhanya hati kita ketika menyahut panggilan si isteri.
Siapa sebenarnya tujuan utama kita? Di mana priority cinta kita kepada ALLAH yang mengatasi segala-galanya?
Bukan kita tidak sayang, tetapi cinta kepada ALLAH mengatasi segala-galanya.
Sumber: Rumusan Hidupku
No comments:
Post a Comment